Berita Harian - 25.2.2006.
Harta Intelek mata pelajaran baru IPT
Oleh: ABD. HALIM HADI
KUCHING 24 Feb. - Pengajaran subjek Harta Intelek (IP) akan diperkenalkan di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan sebagai langkah meningkatkan kesedaran umum terhadap isu-isu yang berkaitan dengannya.
Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Shuib Md. Yusop berkata, pengajarannya perlu dilaksanakan bagi menghadapi isu-isu IP yang semakin meluas dan kompleks pada masa ini.
``Kita telah mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menjadikannya sebagai kandungan kurikulum di beberapa IPT di negara ini.
``Persetujuan telah dicapai dan ia akan dilaksanakan tidak lama lagi,'' katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Harta Intelek, di sini hari ini.
Seminar itu membincangkan isu berkaitan hak cipta dalam bidang muzik seperti lesen dan pembayaran royalti.
Shuib berkata, pengajaran subjek itu sudah lama diperkenalkan di negara-negara maju, malah beberapa fakulti undang-undang di IPT tempatan menjadikan IP sebagai mata pelajaran elektif.
``Antaranya ialah Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM),'' katanya.
Beliau berkata, di universiti berkenaan, pengajaran subjek itu akan diperluaskan ke fakulti-fakulti lain yang mempunyai kaitan seperti kejuruteraan dan teknologi .
Pada masa yang sama, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan beberapa lagi universiti tempatan yang menunjukkan minat.
Katanya, pengenalan kepada pengetahuan harta intelek dan reka cipta sudah diajar di dalam kandungan pelajaran di sekolah menengah.
0 comments:
Post a Comment