Saya selalu ceritakan pada suami saya betapa saya sangat sayangkan negara saya, Malaysia. Memang saya seorang yang sangat patriotik dan saya bangga dengan sikap saya hasil didikan kedua orang tua saya. Saya ingin menjadi rakyat yang dapat berbakti kepada negaranya. Saya ingin, apabila saya tiada lagi di dunia ini, ilmu saya sepanjang 23 tahun dalam bidang ini akan dapat membimbing bangsa melayu , india dan cina . Saya bukanlah seorang peguam , jadi saya dapat rasai betapa susahnya peniaga, untuk memahami bahasa legal yang berbelit belit. Saya mahu tulisan saya nanti menjadi rujukan yang memudahkan untuk difahami dan dapat dijadikan garis panduan supaya suatu hari nanti Jenama yang dicipta oleh rakyat Malaysia akan berada merata-rata didunia ini. Harapan saya sangat tinggi tetapi keupayaan saya sangat kecil.
Begitu banyak artikel diperolihi dengan mudah di internet didalam bahasa Inggeris. Siapakah yang akan membimbing makcik makcik menjual kuih, menjual kain, menjual tudung, menjual ayam, menjual insuran, menjual direct selling? Tidak ada siapa yang mahu melihat kedaifan mereka tentang ilmu Harta Intelek kerana berapalah sangat golongan ini yang berminat dan mahu ambil tahu? Saya cuba ubah sikap dengan tulisan saya, saya cuba sampaikan dengan cara yang sangat mudah melalui pengalaman seharian saya. Saya mahu sampaikan Jenama menguasai kehidupan seharian kita tanpa kita sedari. Saya percaya usaha yang ikhlas ini mungkin tidak akan terlihat hasilnya sekarang ini, tapi mungkin setelah 10 tahun kemudian, Jenama kita bukan lagi jenama yang dicipta tanpa sedikit panduan asas.
Saya akur keturunan saya mempunyai nyawa yang singkat , malah ramai dari kalangan sepupu saya yang pergi dalam usia yang sangat muda. Saya pun bukanlah muda lagi, semakin singkat dan terlalu banyak yang saya ingin tinggalkan , sedikit ilmu untuk negara tercinta ini. Kata ibu saya, manusia mati meninggalkan jasa dan namanya....
Harapan saya , sampai bila-bila , sedikit ilmu saya masih terus dapat membantu...............
0 comments:
Post a Comment